BN HARUS BERANI MELETAKKAN LEBIH BANYAK CALON MUDA
BN HARUS BERANI MELETAKKAN LEBIH BANYAK CALON MUDA
KUALA LUMPUR 17 Oktober 2022 - Meletakkan calon politik muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah langkah yang efektif bagi menarik minat dan keyakinan para pengundi muda yang pertama kali bakal mengundi.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam perkara itu adalah penting untuk Barisan Nasional kerana golongan pengundi muda yang berusia 18 hingga 21 tahun berasa lebih dekat dengan calon-calon muda yang bakal menjadi suara dan wakil mereka di masa hadapan berbanding calon politik yang lebih senior.
Aizat Azam berkata, selain itu golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon atau parti tertentu.
Oleh itu, katanya, beliau mempunyai rancangan yang jelas dan teratur untuk masa depan generasi muda jika diberikan mandat oleh rakyat pada PRU15 bagi memperkasakan golongan muda.
"BN dan UMNO perlu menawarkan janji manifesto yang akan memberikan kelebihan dan keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka mempercayai Barisan Nasional. Sebab itu hanya calon muda sahaja yang pengundi boleh percaya akan membawa aspirasi golongan muda.
"Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.
"Mereka hendak tahu selepas PRU15 apakah jaminan masa depan dan kestabilan mereka bagi meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji yang wajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama media di sini, malam ini.
Tahun lalu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di mana usia layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik memberikan golongan umur itu hak mengundi pada PRU15.
Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu melibatkan jumlah 21,113,234 orang.
Bagi penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, ia menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 21 tahun.
Mengulas lanjut, Aizat Azam menambah, langkah BN mengemukakan calon muda dan tawaran baharu dilihat faktor penting bagi memastikan golongan pengundi muda dalam golongan Undi18 - 21 akan memilih komponen itu pada PRU.
Beliau berkata, golongan muda kini perlu diakui semakin bijak membuat penilaian terhadap apa juga isu yang timbul kerana informasi berada di hujung jari mereka.
"Bagi memastikan BN mendapat sokongan daripada pengundi kali pertama, maka BN perlu menampilkan manifesto baharu yang boleh menarik keyakinan orang muda.
"Calon yang hendak diketengahkan itu mesti kebanyakannya muka baharu, memenuhi cita rasa orang muda dan semestinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kes rasuah mahu pun jenayah atau spekulasi skandal.
"Antaranya adalah calon yang profesional dan amat bersesuaian untuk mengetengahkan isu rakyat dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan pengundi," katanya.
Aizat Azam berkata, BN perlu mengekalkan strategi dalam meraih kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu yang banyak dipengaruhi faktor calon muka baharu dan strategi menarik undi orang muda.
Jelas beliau, strategi tersebut memperlihatkan gabungan itu memperolehi 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi mereka.
Katanya lagi, beliau berharap, BN tidak harus berkompromi dengan faktor penarik itu sebaliknya meneruskan momentum kemenangan di PRN Johor pada PRU15 ini menggunakan strategi yang sama,
Comments
Post a Comment